Sunday, October 19, 2008

Masuk Bakul Angkat Sendiri : Kami Memimpin

Assalamualaikum rakan-rakan pejuang Aspirasi

Salam Aspirasi untuk siswa siswi bersatu



Kami Memimpin. Perkataan itu telah saya dukung sejak bergelar siswa USM. Demi membawa nama USM diperingkat Nasional dan global, saya berusaha sedaya upaya untuk merealisasikannya melalui kepimpinan siswa (MPPUSM). Hal ini terbukti apabila kepimpinan yang saya ketengahkan mendapat kepercayaan rakan-rakan YDP MPP seMalaysia dengan melantik saya sebagai timbalan jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Dalam MPPK, suara MPPUSM sememangnya gah dan selalu didengari. Kami telah membawa isu Pembangunan Lestari untuk disebarkan dalam kalangan siswa siswi seMalaysia. Hasilnya telah dapat dilihat semasa konvensyen IPTA seMalaysia. Isu pembangunan lestari telah menjadi agenda utama dalam perbincangan serta mendapat perhatian Kementerian dan media. Inilah kualiti MPPUSM Aspirasi Universiti.

MPPUSM Aspirasi Universiti telah membawa isu PTPTN yang mana ianya merupakan isu sensitif diperingkat IPTA/S. Kami telah mendesak kementerian untuk mengisytiharkan PTPTN itu riba’ ataupun sebaliknya. Hasilnya dapat dilihat beberapa minggu kemudian apabila Menteri KPT sendiri telah mengumumkan PTPTN itu tidak riba’ melalui perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan.

MPPUSM juga giat memperjuangkan isu pemotongan RM1500.00 kepada siswa siswi baru. Kami telah menyuarakan perkara itu secara langsung dan berserta surat kepada pihak KPT dan kini, KPT sedang mengadakan perbincangan dengan PTPTN berhubung perkara tersebut. Apa yang kami tuntut adalah, pemotongan itu dilakukan setiap semester bagi meringankan bebanan siswa siswi. (RM500.00/semester)

Selain itu, kepimpinan saya juga telah mendapat kepercayaan Y.A.B.Perdana Menteri untuk menjadi PANEL penasihat perpaduan negara. PANEL ini merupakan sumber rujukan utama Y.A.B. PM dalam menyelesaikan masalah perpaduan. Hanya dua orang siswa sahaja yang dipilih menjadi PANEL dan salah seorangnya adalah YDP MPPUSM 07/08 yang telah dilantik selama dua tahun untuk berada dalam PANEL itu.

Hasil daripada perlantikan ini, selain daripada pandangan dan saranan berhemah yang saya utarakan, USM juga telah berjaya dipilih sebagai tuan rumah Konvensyen Perpaduan Siswa yang dalam cadangannya akan diadakan pada januari depan. Perkara ini merupakan hasil usaha YDP MPPUSM dalam membawa dan menjaga nama baik universiti.

Pada Jumaat lepas, saya telah berlepas ke Sabah untuk menghadiri meyuarat PANEL tersebut. Perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan penggubalan Akta Perhubungan Kaum. Disebabkan perkara ini, saya tidak dapat menyampaikan khutbah pada Jumaat yang lepas kerana mesyuarat tersebut lambat dimaklumkan kepada saya. Namun, saya tetap akan menyampaikannya pada minggu ini.

Kepada mereka yang menyokong Aspirasi Universiti, janganlah kita mengikut rentak pihak pembangkang. Biarlah mereka lakukan apa yang mereka suka. Kita teruskan agenda Aspirasi Universiti. Bersama univeriti menjulang bintang meraih mercu. Saya mendoakan agar semua siswa siswi USM berjaya dengan cemerlang pada peperiksaan akhir yang bakal menjelang tiba.

Saya Aspirasi, Dia Aspirasi, Mereka Aspirasi, Semua Aspirasi

Muhammad Syukri Ibrahim
YDP MPPUSM 07/08
Sains Politik/3

Tuesday, October 14, 2008

Kita Aspirasi

Misi Universiti Sains Malaysia

Memimpin dan menginovasi untuk mencapai kecemerlangan pada peringkat antarabangsa melalui.

# pemajuan dan penyebaran ilmu dan kebenaran,

# pemupukan kualiti-kualiti yang menekankan kepada kecemerlangan akademik dan profesional,

# perkembangan individu yang menyeluruh, dan

# komitmen yang kukuh terhadap Aspirasi masyarakat, Aspirasi negara dan Aspirasi universal.


Assalamualaikum

Salam Aspirasi



Revolusi memperkasa perjuangan. Hakikat sebenar yang telah membuktikan bahawa perubahan kepimpinan MPPUSM sejak lima tahun terdahulu semakin hari semakin baik. Bermula sidang 03/04 sehingga kini, pelbagai pembaharuan dan penambah baikkan yang telah dilakukan oleh kepimpinan MPP Aspirasi.

Dari sudut kebajikan, MPP Aspirasi membuktikan amanah yang diberikan oleh siswa siswi sentiasa didukung. Sebagai contohnya, pembinaan perhentian bas di dalam dan luar kampus. MPP Aspirasi meyedari tentang keselamatan dan keselesaan siswa siswi semasa menungu bas perlu dititik beratkan. Jadi, buktinya dapat dilihat dengan mata kasar. Bukanlah sekadar laungan student power seperti yang dilaung-laungkan oleh pihak pembangkang yang hanya pandai menjerit-jerit.

MPP Aspirasi mengaplikasika segala janji supaya terus dijunjung dan dikotakan. Hal ini baru menunjukkan kepimpinan pelajar yang sebenar. Aspirasi Siswa (cita-cita siswa), dalam masa yang sama juga turut bersama Aspirasi Universiti. Ringkasnya, perjuangan MPP Aspirasi membuktikan bahawa kami merupakan badan sebenar yang pro kepada siswa siswi dan pro kepada pihak universiti.

Justeru, saya amat berharap agar masyarakat kampus tidak mudah terpedaya dengan kata-kata dan janji-janji manis daripada pihak pembangkang kerana mereka hanyalah indah khabar dari rupa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Pandai bercakap dan mengkritik tetapi penyelesaian tidak ada. Sudah terang lagi bersuluh, hanya kepimpinan yang mempunyai semangat Aspirasi sahaja yang boleh dipercayai untuk terus memimpin MPPUSM supaya kebajikan siswa siswi terus terpelihara.

Dalam misi universiti juga telah digariskan dengan jelas perkataan Asprasi itu. Sudah nyata, kepimpinan universiti yang diketuai oleh Y.Bhg Tan Sri Dzul juga berkehendakkan siswa siswi yang beraspirasikan kepada universiti supaya hasrat untuk melahirkan siswa siswi yang mempunyai komitmen yang kukuh terhadap Aspirasi masyarakat, Aspirasi negara dan Aspirasi universal mampu untuk dicapai.

Saya Aspirasi, Dia Aspirasi, Mereka Aspirasi, Semua Aspirasi

Kami Memimpin = Kita Aspirasi

Muhammad Syukri Ibrahim
YDP MPPUSM 07/08
Sains Politik/3

Monday, October 13, 2008

siakap, senohong, gelama dan ikan duri (siri terakhir)

Assalamualaikum

Salam Aspirasi



Musyawarah dan Demokrasi? Ada persamaan dan perbezaan. Namun, masih terdapat penipu-penipu besar di dalam kampus yang terus berusaha untuk manipu siswa dan siswi melalui janji-janji dan hujah-hujah kosong. Berorentasikan perjuangan islam, membawa slogan islam syumul, menjadi pengemudi pembangkang tetapi suka menipu dan yang paling hangat sekarang adalah krisis identiti dalam kalangan mereka.

Kesian saya melihat perkara ini. Nak ditegur dan nasihat tidak berdaya. Kerana siapalah saya ini yang mahu menasihati mereka-mereka yang mulia itu sedangkan saya ini hanyalah pencuri banner. Tetapi saya mengharapkan sahaja supaya mereka tergerak hati untuk membaca komentar daripada saya.

Isu perbincangan permuafakatan kuasa dalam PRK masih lagi tidak reda sedangkan pihak Aspirasi Universiti sudah tawar hati dengan kejujuran dan ketelusan pihak pembangkang yang palsu. Tetapi, mereka masih mahu mencipta isu baru yang mana mereka mengatakan saya mahu menidakkan demokrasi dalam kampus melalui PKR.

Nak kata tak pandai baca tapi dah masuk universiti. APEX universiti lagi. Sudah jelas saya terangkan bahawa tujuan permuafakatan yang ingin diadakan hanyalah bertujuan membina perpaduan dalam kalangan siswa siswi di USM supaya kita dapat mengadakan PRK secara aman dan tidak perlu bertanding dan bergeseran antara satu sama lain. Nampak sangatlah mereka tidak suka akan perdamaian.

Bukankah elok kita berbincang secara damai tentang perkara ini? Tetapi pihak pembagkang sekeras-kerasnya mahukan pertandingan. Jadi kami juga bersedia untuk berlawan setelah pelawaan kami dikhianati mereka. Tetapi yang peliknya, mereka ini diketuai oleh insan yang mendukung perjuangan islam syumul tetapi lebih mementingkan demokrasi berbanding musyawarah.

Sama ada mereka lupa ataupun sengaja buat-buat lupa saya tidak pasti. Tetapi bukankah semasa pemerintahan khalifah Ar-Rasyidin, konsep musyawarah yang digunakan dalam sistem syura untuk memilih Khalifah? Perkara ini saya pulangkan semula kepada pihak pembangkang untuk menilai dan merenung semula diri mereka. Yang mana satu sebenarnya yang mereka perjuangkan sebenarnya. Nampaknya mereka kini sedang mengalami krisis identiti yang sangat hebat. Mereka lebih menyokong idea barat berbanding islam. Manalah pergi pendirian mereka agaknya.

Demokrasi Demokrasi. Itu yang mereka perkatakan dan mengkritik apabila saya mengajak mereka bermusyawarah. Teruk juga saya dihentam di laman blog mereka berkenaan musyawarah secara damai yang saya pelawa mereka. Tetapi tidak mengapalah, saya yakin bahawa siswa siswi tidak mudah untuk diperdaya dengan perjuangan gelong mereka.

Nampak gayanya, mereka suka akan pantun siakap, senohong, gelama, ikan duri. Bercakap bohong lama-lama mencuri. Sedarlah siswa siswi, janganlah anda semua terus dibohongi mereka kerana lama-kelamaan mereka akan mencuri keamanan dan keharmornian kampus yang kita kecapi sekarang. Teruskanlah bersama Aspirasi Universiti kerana kami sentiasa seiring dan sejalan dengan universiti dan pada masa yang sama, kami juga sentiasa mengambil berat tentang kebajikan siswa siswi.

Harapan saya agar kampus sejahtera ini kekal lestari dan harmorni. Doa saya juga mengiringi perjuangan rakan-rakan dalam menimba ilmu dan semoga anda semua beroleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir nanti.

SAYA ASPIRASI, DIA ASPIRASI, MEREKA ASPIRASI, SEMUA APIRASI

KAMI MEMIMPIN = KITA ASPIRASI

Muhammad Syukri Ibrahim
Ketua Aspirasi USM
Sains Politik/3

Sunday, October 12, 2008

siakap, senohong, gelama dan ikan duri (siri 2)

Asalamualaikum

Salam Aspirasi untuk siswa siswi bersatu



Niat murni dan tujuan ikhlas. Tetapi apakan daya jika niat dan tujuan itu telah dikhianati secara terang-terangan. Itulah yang dilakukan oleh pro m kepada saya. Perbincangan yang dianjurkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan siswa siswi telah disalah tafsir oleh mereka. Manakan tidak, hatinya sentiasa berbau dan curiga kepada saudara seislam sendiri.

Perbincangan untuk perkongsian kuasa dalam tampuk kepimpinan MPPUSM tampaknya semakin kabur apabila pihak pro m bersifat tidak jujur dalam merealisasikan hasrat murni ini. Bukankah satu perkara yang baik apabila USM merupakan satu-satunya universiti yang mampu menyatukan siswa siswinya dalam meneraju kepimpinan siswa.

Tetapi hasrat murni itu dikhianati, dalam perbincangan sebelum ini, kedua-dua pihak iaitu Aspirasi Universiti dan pro m telah bersetuju untuk tidak menghebohkan perkara ini sehinggalah pada masa pilihan raya. Tetapi malang seribu kali malang, orang yang saya letakkan kepercayaan sepenuhnya telah memungkiri janji terebut. Mempunyai watak kepimpinan bercirikan islam, namun masih tidak mampu mengotakan janji.

Tidak habis setakat disitu, saya pula yang disarankan untuk bersikap jujur dan telus. Demi Allah, Tuhan yang memerintah alam, niat saya datang berjumpa dan berbincang sememangnya demi perpaduan dan keharmornian kampus. Saya mahu semua siswa siswi bersatu dibawah satu bumbung. Itulah apa yang ingin Aspirasi Univeriti perjuangkan. Dan dalam perancangan saya, isnin ini saya akan berjumpa dengan ketua pro m bagi meneruskan lanjutan perbincangan terebut.

Namun hasrat itu terbantut dan mungkin terkubur disebabkan sikap tidak jujur yang awal-awal lagi telah mereka tonjolkan. Janji hanya tinggal janji. Niat murni saya dipermainkan dan diperlekehkan oleh mereka. Jadi, buat apa saya mahu serahkan kepala saya pula kepada ketua mereka. Saya juga ada maruah, sekali orang menipu saya, tiada makna untuk saya percaya lagi.

Dalam perbincangan awal itu juga, saya cuba untuk merendah diri dan berlaku telus dalam perbincangan. Sehinggakan saya sanggup mencadangkan untuk masing-masing mendedahkan calon MPP akan datang supaya kita dapat menilai yang terbaik. Bukanlah saya hanya meminta mereka mendedahkan calon mereka sahaja tetapi kami juga akan berbuat perkara yang sama.

Hasratnya cukup mudah, kita berkehendakkan MPP yang seiring dengan univeriti. Jadi, mereka yag telah dinilai akan didedahkan dengan pelan tranformasi APEX universiti supaya mereka arif dan faham berkenaan perkara tersebut. Selain iti juga, mereka akan diberikan penerangan berkenaan pembangunan lestari kerana perkara itu merupaka teras dalan pelan tranformasi.

Tetapi apakan daya, cita-cita saya ingin melihat kepimpinan MPPUSM yang akan datang menjadi lebih hebat dan mantap telah dikuburkan oleh pihak pro m. Namun semangat saya tidak luntur, saya akan memastikan kepimpinan MPP Aspirasi Universiti yang akan datang, benar-benar faham akan isu tersebut dan mampu membantu univeriti menaikkan nama dipersada dunia disamping terus menjaga kebajikan siswa siswi.

Kepada siswa siswi sekalian, kekalkanlah perpaduan dan keharmornian yang kita kecapi sekarang ini. Teruskanlah sokongan anda semua kepada Aspirasi Universiti yang telah banyak membawa perubahan berguna dalam kepimpinan MPPUSM. Doa saya agar seluruh siwa siswi USM terus bersatu menjunjung misi dan visi universiti.

SAYA ASPIRASI, DIA ASPIRASI, MEREKA ASPIRASI, SEMUA ASPIRASI

* ikhlaskan diri dalam perjuangan membantu siswa siswi, ikhlas datang dari dalam hati, bukan hanya sekadar dari mulut yang bestari. Sama-samalah kita amalkan sikap bantu membantu, hari ini hari mereka, esok lusa siapa yang tahu.

Muhammad Syukri Ibrahim
Pengerusi Aspirasi USM
Sains politik/3

siakap, senohong, gelama dan ikan duri (siri 1)

Assalamualaikum

Salam Aspirasi untuk siswa siswi bersatu


Cita-cita menggunung, impian melangit. Itulah pro m yang pada saya hanya memasang angan-angan mat jenin. Diketuai oleh insan yang berorentaikan ajaran islam tetapi sering melakukan penipuan dan pembohongan terhadap siswa siswi USM. Lakonannya mantap, gerak bicaranya menyentap. Tetapi malang, siswa siswi kini bukannya mudah untuk diperdaya. Apatah lagi untuk mempercayai tutur bicara pro m yang kini menyatakan mereka bersama universiti menjunjung perubahan.

Adakah benar pro m bersama univeriti? Satu hakikat yang amat mustahil berlaku. Imbas sahaja kembali aktiviti dan tingkah laku mereka. Dimanakah aktiviti-aktiviti pro m yang menjuruskan perpaduan? Kemasyarakatan? Yang ada, mereka hanya menganjurkan aktiviti untuk siswa siswi islam bagi pmi dan hanya untuk rakan-rakan daripada kaum cina bagi pbt. Itukah yang dikatakan bersama universiti? Kelakar dan melucukan.

Saya amat berharap agar siswa siswi menilai dahulu setiap apa yang dibicarakan oleh mereka ini. Mereka mengatakan mereka bersama universiti tetapi merekalah juga yang berusaha untuk memburukkan nama universiti. Buktinya saya ada, semasa berlakunya khabar angin bahawa ada orang minyak di USM, merekalah orangnya yang memanggil wartawan untuk pergi berjumpa dengan TNC BHEPP bagi menyerahkan memorandum.

Apakah tujuan memorandum itu? Kenapa perlu memanggil wartawan? Hal ini sudah terpampang bahawa mereka sengaja mahu memalukan pihak universiti dalam konteks menjaga keselamatan siswa siswi sedangkan perkara itu hanyalah khabar angin. Bukannya susah untuk berjumpa dengan TNC BHEPP bagi membincangkan soal tersebut secara diplomasi dan pada masa memorandum itu dihantar, tiada seorang pun siswa siswi yang membuat laporan tentang perkara tersebut tetapi mereka yang melatah lebih-lebih.

Bagi pihak MPP Aspirasi pula, kami tidaklah terus melatah apabila khabar angin itu disebarkan. Kami menghantar surat kepada pihak keselamatan untuk kerapkan rondaan di dalam kampus. Itu barulah tindakan yang mencerminkan kita bersama universiti. Menjaga nama universiti dan pada masa yang sama, keselamatan dan kebajikan siswa siswi turut kami pelihara.

Sudah terang lagi bersuluh, pro m sememangnya tidak jujur dan pembohong dalam perjuangan mereka. Tetapi saya yakin dan percaya bahawa siswa siswi bijak menilai yang mana kaca yang mana permata. Teruskanlah berusaha untuk memastikan keharmornian kampus terpelihara dengan seiring dan sejalan bersama-sama kepimpinan Aspirasi Universiti.
Muhammad Syukri Ibrahim
Pengerusi Aspirasi USM
Sains Politi/3

Thursday, October 9, 2008

PEMBAHAGIAN 13-12 : SEJAUH MANA KEKUATAN PIHAK LAWAN


Assalamualaikum

Salam Aspirasi


Baru-baru ini, saya telah mengadakan satu pertemuan dengan YDP PMIUSM, saudara Asyraf untuk membincangkan isu berkenaan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang akan berlangsung tidak lama lagi. Niat dan tujuan pertemuan itu tidak lebih daripada membincangkan soal pepaduan dalam kalangan siswa siswi di USM.

Hal ini kerana, saya melihat bahawa PRK yang sebelum ini hanyalah memecah belahkan perpaduan dalam kalangan siswa siswi. Perbalahan antara dua pihak yang tidak berkesudahan, pertengkaran antara penyokong-penyokong calon dan pelbagai insiden yang tidak menggambarkan perilaku seorag cendiakawan.

Namun dalam masa yang sama, PRK juga mambuktikan bahawa demokrasi kampus terus terlaksana dengan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar melalui pengundian oleh siswa siswi. Tetapi, dengan penarafan USM sebagai APEX universiti pada September yang lalu, saya merasakan sudah tiba masanya perbincangan harus diadakan untuk memilih perwakilan yang akan mewakili siswa siswi.

Seiring dengan hasrat Aspirasi Universiti yang mahu mentransformasikan kepimpinan pelajar, barisan kepimpinan MPPUSM 07/08 telah berhasrat untuk menubuhkan Parlimen Siswa yang akan menjadi medan perdebatan dan perbahasan berkenaan isu-isu kebajikan dan siswa siswi.

Jadi biarlah pemilihan MPP pada kali ini dan mungkin seterusnya dapat dilakukan secara musyawarah supaya kita dapat menumpukan usaha membantu universiti mencapai pelan transformasi yang digariskan. Berkenaan isu siswa siswi pula, kita boleh perdebatkan secara demokrasi di dalam parlimen siswa kelak.

Namun, ketelusan dalam perbicangan tersebut mula diragui yang mana pada pertemuan itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk tidak mengwar-warkan kepada umum berkenaan cadangan pembahagian kerusi bagi pemilihan MPP. Rasa kesal dan terkilan terlahir daripada jiwa saya apabila terbaca artikel berkenaan di beberapa laman blog.

Janji yang diukir untuk perbincangan itu hanya habis ditempat perbincangan telah dikhianati oleh pihak lawan saya. Sedangkan kami telah bersetuju untuk membuat rundingan secara peribadi dan tidak menghebohkan kepada umum berkenaan perkara tersebut bagi memastikan pemilihan kali ini berlangsung secara aman dan harmorni.

Seperti yang telah saya jelaskan diatas tadi, tujuan perbincangan ini tidak lebih daripada untuk memupuk perpaduan dan memelihara keharmornian kampus. Tetapi mungkin pihak lawan merasakan kami berada dalam keadaan tertekan untuk menang pada pemilihan kali ini. Kesilapan yang tersangat besar jika mereka mengandaikan sedemikian kerana jentera PRK kami sudah bersiap sedia untuk bertempur dan calon-calon juga sudah bersedia berlawan.

Namun saya dapat mengesan sejauh manakah kekuatan pihak lawan pada perbincangan tersebut. Daripada analisis yang saya buat, pihak lawan hanya yakin untuk memenangi tidak lebih daripada 10 kerusi pada PRK kali ini. Hal ini kerana apabila saya bertanya kepada saudara YDP PMIUSM berkenaan keyakinan mereka untuk menang di kampus induk, beliua menyatakan bahawa mereka mampu menang kesemua 25 kerusi yang dipertandingkan.

Tetapi, apabila saya mencadangkan pembahagian kerusi 13-12 yang mana Aspirasi akan mendapat 13 manakala pihak lawan 12, dengan sepantas kilat beliau bersetuju dengan cadangan tersebut. Disitu sudah membuktikan bahawa mereka tidak mampu untuk memenangi lebih daripada 10 kerusi.

Hal ini kerana, jika mereka menyatakan bahawa mereka yakin untuk menang kesemua 25 kerusi di kampus induk, mengapa pula mereka dengan pantas bersetuju dengan cadangan pembahagian kerusi yang mana mereka diberikan kurang 1 kerusi. Sedangkan niat mereka adalah untuk mengambil alih dan merubah kepimpinan MPPUSM.

Kepada kesemua rakan-rakan yang bersama dengan Aspirasi Universiti, saya mengharapkan sokongan anda kekal bersama kami demi memelihara keharmornian dan kesejahteraan kampus lestari ini. Hanya Apirasi universiti sahaja yang akan menjaga kebajikan siswa siswi dan sentiasa bersama universiti.

SAYA ASPIRASI, KAMI ASPIRASI, KITA ASPIRASI

# Janganlah kita suka menuding jari menunjukkan salah seseorang kerana 9 jari lagi akan kembali kepada kita. Janganlah pula kita suka mencari salah seseorang kerana mungkin kesalahan kita lebih banyak daripada mereka. Bantulah memperbetulkan kesalahan itu dengan ilmu dan kepakaran yang dimiliki kerana perkara itu lebih baik daripada kita hanya berkata-kata.

PROMAHASISWA@IDEALISME : INDAH KHABAR DARI RUPA

Assalamualaikum

Salam aspirasi

Baru-baru ini, kampus telah dilanda edaran risalah oleh sekumpulan pelajar yang menamakan diri mereka promahasiswa. Pelbagai isu berkenaan suara dan peranan mahasiswa diletakkan didalam edaran tersebut. Namun, secara jujurnya, saya langsung tidak bersetuju dan tidak menyokong perjuangan seperti itu.


Pertama, mereka menunjukkan kepada masyarakat kampus tentang perpecahan semata-mata, sebelum ini, tiada satu pihak pun yang tampil untuk mengasingkan exco-exco dalam MPPUSM. Tetapi dengan kehadiran promahasiswa, mereka dengan sombong dan beraninya telah memecah belahkan perpaduan dan keharmornian kepimpinan MPPUSM yang mana kesemua exco-exco telah dipilih oleh masyarakat kampus.


Tindakan mereka mengasing-asingkan MPP amat tidak wajar dan menunjukkan sikap yang tidak matang dan kebudak-budakan. Bukankah kita berada di menara ilmu yang sama, jadi kenapa kita perlu membeza-bezakan antara kita? Jika agenda sebegitu yang ingin dibawa oleh golongan ini, mereka tidak layak menggelar diri mereka sebagai promahasiswa tetapi sebagai prosak mahasiswa.


Nyatalah bahawa apa yang disuarakan oleh golongan ini tidak lebih daripada indah khabar dari rupa. Lebih elok jika kita berbincang berkenaan isu perpaduan antara kita. Perkara itu lebih elok dan mulia. Saya mengandaikan siswa siswi dapat menilai dan memahami apa yang saya maksudkan. Bukanlah niat untuk memburukkan sesiapa tetapi hanya hadir untuk memberikan pandangan peribadi berkenaan pergerakan kepimpinan siswa kini.


Jadi, saya menyarankan supaya kita bersama-sama sehati sejiwa untuk menjaga universiti ini supaya kekal aman dan harmorni. Jadilah siswa siswi yang ada semangat cinta dan sayang kepada universiti dan semangat apirasi universiti.


Muhammad Syukri Ibrahim
YDP MPPUSM
Sains Politik/3

SALAM ASPIRASI UNTUK SISWA SISWI BERSATU


Assalamualaikum


Salam aspirasi untuk siwa siswi bersatu


Aspirasi dan mahasiswa bersatu (MB), ramai diantara kita yang masih tidak memahami makna dan peranan disebalik salam aspirasi untuk siwa siswi bersatu. Untuk pengetahuan siswa siswi, aspirasi itu bermakna cita-cita dan MB itu merujuk kepada anda semua sebagai siswa siswi USM.


Namun jika kita selami makna aspirasi itu dengan mengaitkan misi dan visi universiti, maka akan lahirlah semangat cinta dan sayang kepada universiti daripada perkataan aspirasi itu. Perkara inilah yang hendak diterapkan kedalam jiwa siswa siswi sekalian.


Semangat cinta dan sayang kepada universiti kita dan pada masa yang sama, kita sentiasa seiring dan sejalan bersama-sama misi dan visi universiti. Bukankah menjadi kewajipan setiap siswa siswi sama ada masih menuntut ataupun sudah bergraduan mempunyai semangat aspirasi terhadap universiti kita (USM).


Itu semestinya perlu, sebagai siswa siswi USM, kita perlulah menjaga nama baik universiti disamping berusaha mengharumkannya dipersada dunia. Manakala MB pula seperti yang saya jelaskan sebentar tadi. Anda semualah merupakan Mahasiswa Bersatu. Sebagai siswa siswi universiti dalam taman ini, kita seharusnya mempunyai satu semangat persaudaraan antara satu sama lain.


Menjaga perhubungan dan sentiasa berusaha mengeratkan persahabatan. Itulah semangat MB yang anda perlu bawakan. Sebagai siswa siswi di USM, kita dituntut untuk saling hormat menghormati, sayang menyayangi dan mempunyai sikap bantu membantu. Barulah masyarakat memandang tinggi budi pekerti siswa siswi di era global ini.


Justeru, tidak perlulah menjadi satu paksaan untuk semua siswa siswi di universiti ini sama ada junior mahupun senior untuk mempunyai semangat aspirasi untuk siswa siswi bersatu, anda seharusnya memikirkannya sendiri. Berada di bumi minden ini, menuntut ilmu di kampus sejahtera ini dan bakal bergraduan sebagai graduan universiti di dalam taman ini yang kini menjadi univeriti APEX.


Jadi tanggungjawab untuk menjaga nama universiti dan pada masa yang sama menjaga perhubungan sesama kita adalah menjadi tanggungjawab setiap individu dan tidak terlepas juga untuk pegawai serta staf. Semoga dengan sedikit penjelasan ini, siswa siswi telahpun faham serba sedikit berkenaan salam aspirasi untu siswa siswi bersatu. Bukalah mata dan pandang ke langit kerana disitu letaknya keindahan alam. Bukalah mata hati dan berfikir menggunakan akal yang dikurnia kerana disitu letaknya kebijaksanaan.

Salam Aspirasi untuk Siswa Siswi Bersatu

Muhammad Syukri bin Ibrahim
YDP MPPUSM 07/08
Sains Politik/3

KAMI MEMIMPIN = KITA ASPIRASI


Assalamualaikum

Salam aspirasi untuk siswa siswi bersatu

Kami Memimpin, moto universiti yang didukung oleh seluruh masyarakat kampus. Bertunjangkan moto tersebut, seluruh masyarakat kampus bersapirasi untuk membuktikan bahawa kita mampu memimpin. Aspirasi ini adalah aspirasi kita. Aspirasi itu bermaksud cita-cita. Jadi cita-cita itu adalah cita-cita bersama.


Kita aspirasi dan kami memimpin, sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ianya saling berkaitan. Kehendak (kita aspirasi) dan matlamat (kami memimpin). Kehendak kita adalah cita-cita untuk merealisasikan moto universiti dan matlamat kita adalah untuk membuktikan moto universiti mampu direalisasikan oleh siwa dan siswi.


Jadi, untuk menjayakan perkara tersebut, siswa siswi perlulah menghayati makna kami memimpin dan dalam masa yang sama kita perlu mempunyai semangat kita aspirasi. Gunakanlah ruang dan peluang sepanjang berada di menara ilmu ini untuk mencurahkan jasa dan bakti. Sekurang-kurangnya, hanya dengan setitik usaha, ianya dapat berguna untuk jangka masa yang lama.


Nilailah dimana kita berada, jangan punyai sikap biarkan, tunggu dan lihat. Sesungguhnya kita mampu mengubahnya. Jadilah siswa siswi yang lebih cemerlang daripada hari semalam. Pastikan hari esok kita menjadi lebih gemilang daripada hari ini supaya hari-hari mendatang kita mampu menjadi terbilang.

Muhammad Syukri Ibrahim
YDP MPPUSM
Sains Politik/3

Aspirasi Selamanya


Assalamualaikum…

Salam aspirasi untuk siswa-siswi Apex universiti


Politik kampus, ada yang terlibat dan ada juga yang tidak ambil tahu. Dalam masa yang sama, masih ada siswa yang keliru akan perjuangan MPP dalam politik kampus. Sebagai YDP MPPUSM, saya disini ingin berkongsi dengan rakan-rakan berkenaan perjuangan aspirasi saya. Aspirasi bukanlah satu parti yang bertanding dalam pilihan raya kampus, aspirasi juga bukanlah badan yang menyokong mana-mana badan politik luar dan aspirasi tidak juga didaftarkan dalam persatuan universiti. Tetapi aspirasi hanya satu semangat murni.


Mari menyingkap makna aspirasi, ianya tidak lebih daripada kehendak dan cita-cita. Tetapi aspirasi siswa yang saya pikul adalah lebih dari itu. Memang benar saya bercita-cita untuk seiring dan sejalan dengan universiti, kebajikan siwa dan masyarakat kampus. Tetapi aspirasi yang saya pikul adalah lebih dalam iaitu satu semangat cinta, sayang dan taat kepada universiti. Kenapa saya cinta dan sayang kepada universiti? Kerana universiti inilah tempat saya mencari ilmu, tempat saya tumpang berteduh untuk perkasakan ilmu didada dan tempat saya mencorak perjalanan hidup.


Jadi amat tidak wajar sekiranya saya menjatuhkan nama universiti, mampalitkan arang pada namanya dan tidak berusaha untuk menaikkan nama universiti kita ini. Taat setia itu penting, dalam kehidupan kita juga telah lama diamalkan sifat taat setia kepada ibu bapa, taat setia itu sifat mulia, tidak rugi jika kita mengamalkannya. Jika kita berfikir secara logiknya, adakah wajar kita memukul tangan orang yang memberikan kita hidup? Dalam konteks ini, hidup itu diibaratkan ilmu, tanpa ilmu, kita tidak dapat meneruskan kehidupan. Semua perkara didunia ini berkaitan ilmu, sama ada ilmu itu yang elok atau sebaliknya.


Justeru, saya ingin mengajak rakan-rakan untuk turut bersama saya dalam menjiwai makna, nilai dan perkataan aspirasi. Supaya kita menjadi orang yang bijak pandai kelak. Dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Fakta dan auta. Hakiki dan misteri.


Jadi nilailah sendiri, semenjak MPP diambil alih oleh siswa yang beraspirasi kepada universiti, siswa siswi dan masyarakat kampus, kepimpinan siswa dilihat bertambah baik dari setahun ke setahun. Bermula sidang 03/04 sehinggalah kini, kepimpinan yang ditonjolkan semakin berkualiti, ruang dan peluang yang diberikan semakin luas, suara siwa juga semakin mudah disalurkan sehingga mampu bersemuka dengan pemimpin negara. Kebajikan pelajar semakin meningkat, pencapaiaan universiti pula semakin hebat. Inilah yang dihasilkan oleh aspirasi universiti. Jika diberi peluang, saya juga ingin menabur bakti di universiti ini selepas bergraduan. Kerana semangat aspirasi yang bersama saya, adalah aspirasi selamanya.


KITA ASPIRASI, KAMI APIRASI, SAYA ASPIRASI


Muhammad Syukri Ibrahim
YDP MPPUSM 07/08
Sains Politik/3

Lahirnya Sebuah Harapan


Assalamualaikum

Salam Aspirasi untuk Siswa Siswi Bersatu


Terlebih dahulu, sekalung salam perkenalan ingin dihulurkan kepada rakan-rakan yang mengenali dan yang ingin mengenali insan ini. Diberi nama Muhammad Syukri Ibrahim, lahir pada 25 Februari 1986. Anak jati negeri Johor Darul Ta'zim yang berkampung di Endau Mersing.


Memulakan pencarian ilmu di SRKJC Chio Ching Endau, kemudian meneruskan pencarian ilmu di SK Bandar Endau. Memulakan persekolahan menengah di SMA Rompin sehingga tingkatan lima. Sempat menuntut ilmu di SMK Seri Rompin sebelum menamatkan persekolahan di SMK Sri Mersing. Demi mencapai impian yang dihajati, saya telah meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia, univeriti dalam taman yang lestari dan sejahtera.


Saya merupakan insan yang mudah didampingi, ceria, riang dan suka bergurau senda. Namun, saya begitu komited dalam menjalankan tugas, serius dan bercita-cita tinggi untuk mencapai matlamat. Bercita-cita untuk menjadi Ahli Parlimen dalam usaha ingin membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Juga meminati bidang perniagaan kerana disitu letaknya 9/10 punca rezeki.


Menjunjung tinggi kepimpinan dan akhlak Kekasih Allah, mengakumi pemikiran dan pandangan Tun Dr Mahathir serta memuji ketegasan Ayahanda dalam mendidik anak-anak. Semoga dengan serba sedikit pengenalan yang diberi, dapatlah rakan-rakan mengenali diri insan yang gemar dipanggil Che Mat ini.


Salam Aspirasi